Monday, August 17, 2015

Penawar Batuk

Hari ini saya punya misi, untuk menunaikan sebuah janji.
Menyambung cerita yang tertangguh.
Moga dipermudahkanNya.
Insya-Allah.

Rasanya saya sudah hampir sembuh sepenuhnya.
Kalau ikut peratusan mungkin dah mencapai 98% sihat atau mungkin juga 99% sihat.
Batuk itu sudah baik banyak.
Alhamdulillah.

Tapi kenapa tidak 100% sihat?
Sebab batuk-batuk kecil yang jarang-jarang itu masih ada.
Batuk yang masih boleh di'control' dengan ayu dan lembutnya peribadi seorang insan bergelar perempuan.
Dan alhamdulillah batuk-batuk yang 'ganas' itu sudah tidak kedengaran lagi.
Maha Suci Allah Yang Maha Penyembuh.

Kembali kepada topik asal perbincangan.
Saya ingin bercerita mengenai cara-cara saya merawat batuk yang menyerang saya pada kali ini.
Kalau ikut sejarah perubatan saya, batuk yang sebelum ini akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh.
Hampir sebulan atau mungkin lebih juga.
Tapi untuk kali ini kunjungannya lebih pendek.

Jika dulu saya memerlukan ubat batuk dalam dua botol untuk sembuh secara total,
namun kali ini saya memilih penawar alternatif untuk merawatnya.

Dan benarlah, rasanya kembali pada alam dan DIA yang menjadikan segala sesuatu itu adalah lebih balik.

Antara penawar yang saya gunakan adalah seperti berikut:

1) Gamat

Pati Gamat Plus Vita

Saya makan produk Gamat Emas. Pati Gamat Plus Vita namanya. Cuma ambil satu sudu pagi (10ml) sebelum makan dan satu sudu malam sebelum tidur.

Masa saya makan dua kali sehari tu batuk saya makin menjadi-jadi sampai tak boleh nak tidur malam. Umi saya cakap sebab batuk tu latah keluar. Dia nak keluar semua mana yang tak elok lah tu. Umi saya makan jadi okay sahaja dan batuknya memang cepat hilang. Asalnya lepas tak boleh nak tidur malam tu saya mogok tak nak makan dah, tapi saya dinasihati untuk terus makan sebab itu katanya sebagai proses penyembuhan. Jadi, saya terus ambil satu sudu sehari dan alhamdulillah cepat sembuh pula batuk saya kali ni. Tak melarat-larat sampai sebulan dan lebih macam sebelum ini.

2) Air asam jawa + air limau nipis @ air limau kasturi + gula @ garam

Saya ambil setengah sudu besar asam jawa extra Adabi dicampur dengan air sebiji limau kasturi (orang kata guna limau nipis lagi baik tapi waktu tu cuma ada limau kasturi jer kat rumah saya) dan setengah sudu gula sebagai penambah perasa. Sedap pula rasanya bila masukkan gula tu. Rasa masam-masam manis. Lepas saya terbaca satu artikel kat internet berkenaan kebaikan garam dalam merawat batuk yang boleh bertindak sebagai pembunuh kuman tu, terus saya tukar gula dengan garam. Tapi rasanya akan jadi masam-masam masin lah pula.

3) Kapur + air limau nipis @ air limau kasturi

Ambil secubit kapur campur dengan air limau kasturi (saya tak ada limau nipis) sampai kapur tu melekit-lekit. Kemudian letak kat leher (dalam lubang kecil kat leher tu).

4) Daun pokok misai kucing + kapur

Waktu malam saya batuk kuat sungguh. Tak henti-henti sampai termuntah pula tu. Abah saya kesian tengok kemuadian dia keluar cabut pokok yang namanya misai kucing kat tepi rumah. (Adik saya cakap masa dia zaman kanak-kanak dulu dia buat main masak-masak dengan pokok tu. Dia tumbuk daun pokok tu dengan serpihan bata merah untuk dibuat gulai. Hehe.) Daun pokok tu kemudiannya umi saya 'upar' dengan sedikit kapur sampai keluar air buih-buih hijau. Upar tu bahasa kelantan. Saya tak tahu nak guna perkataan apa untuk merujuk pada perbuatan umi saya tu. Umi saya ambil daun kemudian letak kapur dalam tu kemudian gosok-gosok kat telapak tangan. Air buih-buih daun campur kapur tu lah jadi ubatnya. Kena sapu kat badan dari leher sampai perut depan dan belakang. Saya sapu tiga malam berturut-turut. Alhamdulillah, setiap malam yang saya kena jadi hijau macam hulk tu saya rasa lega sungguh. Rasa boleh tidur kalau nak dibandingkan dengan malam-malam yang saya tak letak daun tu.

5) Air garam

Air garam ni saya sempat buat sekali je. Saya tahu lambat petua ni. Saya letak garam sikit dalam air kemudian kumur-kumur. Jangan telan pula ye, sebab kumur-kumur tu pun saya dah rasa masin yang amat. Ada kajian bagitahu garam ni bertindak sebagai antibacterial (sebagai pembunuh kuman). Jadi elok lah juga kalau rajin nak buat.

6) Perubatan islam


Saya letak tangan kanan kat leher kemudian baca Surah As-syu'ara ayat 80 seperti dibawah:

(credit to http://keranakasihnabi.blogspot.com/)

Ajaibnya, lepas 2 hari saya baca-baca ayat ni batuk saya yang teruk-teruk tu jadi hilang. Tinggal batuk-batuk kecil jer lagi. Sungguh DIA Maha Kuasa.

Semoga catatan kali ini bermanfaat untuk mereka yang ingin mengambil manfaat darinya.

Sekian.




No comments:

Post a Comment